Sesat jika amal ilmu kebatinan sehingga kebal

Umat Islam yang mengamalkan ilmu kebatinan sehingga kebal daripada pelbagai jenis senjata dianggap golongan sesat dan sudah terpesong daripada ajaran agama.

Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib berkata, dalam Islam adalah jelas tidak ada bacaan, jampi atau mentera khusus yang membolehkan umatnya kebal daripada senjata tajam walaupun ada pihak mendakwa ayat tertentu yang diamalkan itu diambil daripada al-Quran.

Tegas beliau, apa yang sering berlaku ialah ayat al-Quran yang digunakan itu telah disalahgunakan dengan cara dan niat tertentu sebagai mengaburi pengamalnya sedangkan pada masa yang sama ia mempunyai unsur sihir.

VIDEO PENUH KEJADIAN BERADA DI AKHIR ARTIKEL INI

Malah, katanya, sebagai bukti, Nabi Muhammad sendiri pernah cedera ditikam dengan pedang dalam satu peperangan dan ini menunjukkan bahawa golongan Nabi sendiri tidak diberikan keistimewaan sedemikian rupa.

”Bagi saya amalan sebegini memang sesat. Dalam Islam tidak ada kebal.

”Kalau kebal itu mungkin ada unsur sihir. Bangsa lain (bukan Islam) pun ada yang kebal melalui jampi, mentera dan amalan tertentu tetapi berkaitan dengan syaitan,” katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Kadir menambah, dakwaan pihak tertentu bahawa Nabi Ibrahim adalah kebal daripada api apabila dibakar tubuhnya adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana, katanya, Nabi Ibrahim tidak mengamalkan sebarang jampi mentera ketika saat cemas itu, sebaliknya Allah yang memerintahkan api itu agar tidak membakar tubuh baginda.

Dalam hubungan amalan kebatinan yang banyak membabitkan pertubuhan silat dan seni bela diri di negara ini, beliau berkata, jelas terbukti banyak benda ‘ganjil’ yang terlibat dan bukan sekadar pergerakan jurus atau senaman semata-mata.

Abdul Kadir berkata, jikalau seseorang itu ingin beramal dan mendekatkan diri kepada Allah, tidak perlu mengamalkan wirid ganjil atau amalan pelik yang dibuat oleh seseorang individu yang tidak diketahui asal-usul ilmunya.

VIDEO PENUH KEJADIAN BERADA DI AKHIR ARTIKEL INI

Beliau memberitahu, golongan yang sering mengamalkan wirid atau unsur kebatinan secara bersembunyi biasanya mudah dipesongkan serta disesatkan oleh syaitan sehingga sanggup melakukan sesuatu yang ditegah agama.

Sebagai contoh, menurutnya, mereka yang sudah didampingi syaitan biasanya hanya akan menganggap dirinya sahaja yang benar manakala pihak lain adalah salah.

Akhirnya mereka ini, katanya, akan menjadi taksub dan sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menentang atau berperang dengan kerajaan yang memerintah.

”Saya sedih dan kesal dengan apa yang berlaku kerana akhirnya ia akan melibatkan nama Islam, sedangkan Islam tidak begitu kerana Islam itu selamat, aman, tenteram dan jauh dari unsur keganasan,” katanya.
Jelas Abdul Kadir, perbuatan kumpulan Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah Malaysia (Al-Ma’unah) yang melakukan rompakan senjata dan membunuh tahanan merupakan satu contoh kesesatan yang timbul setelah ahli-ahlinya terpengaruh dengan ajaran kebatinan yang menyesatkan.

SUMBER : UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*