Setiap hari anda mengeluh akan perkara yang tidak seberapa! Melihat kisah lelaki ini, adakah anda mahu mengeluh lagi?

Membajak sawah, mengharungi lumpur, menanam benih padi serta menabur baja. Semuanya dilakukan oleh petani ini. Namun petani ini bukan petani biasa. Semua kerja petani yang berat ini dilakukan oleh lelaki ini yang kelainan upaya.

Mungkin bagi seorang yang biasa seperti kita juga tidak berupaya melakukan kerja petani yang memerlukan tenaga, usaha dan kekuatan di samping berada di bawah panas terik matahari sepanjang hari.

Lelaki kelainan upaya ini bernama Li Jiewen dari Wilayah Peng’an di China yang telah kehilangan kakinya yang terpaksa dipotong kerana penyakit polio.

Walaupun telah kehilangan kaki, Li Jiewen tetap tabah dan cekal serta berusaha gigih di dalam kehidupannya. Li  Jiewen menjalani kehidupan yang lebih sukar setiap hari dengan separuh kakinya yang telah tiada itu dilindungi dengan pelapik besi sambil bertongkat.

Li Jiewen telah dilahirkan 46 tahun yang lalu . Namun begitu, sebagai anak lelaki sulung, kegembiraan ibu bapanya bertukar kesedihan apabila diberitahu bahawa Li Jiewen bukanlah seorang bayi yang normal.

Doktor telah mendiagnos Li Jiewen dengan penyakit congenital poliomyelitis atau polio. Penyakit lumpuh yang disebabkan oleh jangkitan virus dan Li Jiewen tidak boleh berjalan dengan normal seumur hidupnya lagi.

Menurut Li Jiewen dengan tegas, “Walaupun kaki saya tidak sempurna, saya tidak pernah berasa kecewa.”

Dengan bantuan bangku kecil, Li Jiewen telah dapat belajar berjalan sehingga dapat membasuh bajunya sendiri, memasak dan bersekolah.

Katanya, “Saya seorang kelainan upaya, yang tidak boleh berjalan seperti orang lain, tetapi saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.” Li Jiewen berasa bangga kerana walaupun dirinya tidak sempurna, beliau dapat bersekolah dan menimba ilmu.

 

Selepas menghabiskan persekolahan di sekolah rendah, Li Jiewen tidak dapat menyambung persekolahannya di sekolah menengah kerana sekolah tersebut amat jauh dari rumahnya. Jadi, hasratnya untuk menyambung pelajaran yang lebih tinggi telah terbantut sehingga di sekolah rendah.

Pada tahun 1991, Li Jiewen telah menjalani pembedahan pemotongan di kedua-dua belah kakinya. Sebahagian dari kakinya telah dipotong. Pada usia 26 tahun, Li Jiewen telah berkahwin.

Oleh kerana telah berumahtangga dan bertanggungjawab menjaga keluarga, Li Jiewen telah memikirkan untuk mengubahsuai tongkat dan pelapik kaki  dengan kerangka besi yang lebih kukuh dan kuat.

Li Jiewen mengumpulkan besi terpakai dan mengubahnya menjadi kepingan besi lalu menukar tongkat kayunya kepada tongkat besi. Sambil menyapu kertas pasir, Li Jiewen berkata, “Tongkat ini bertahan agak lama, sudah lebih 10 tahun dan tidak pernah berganti.”

Menurut Li Jiewen,” Semua kerja yang orang normal lakukan, semuanya  saya boleh lakukan, tetapi dengan lebih perlahan.”

Semasa mahu menanam benih padi, Li Jiewen akan mengapungkan tayar terpakai di atas tapak sawah dan meletakkan pelantar kayu di atasnya. Dengan duduk di atasnya, Li Jiewen akan bergerak dengan menggunakan kakinya yang tidak sempurna itu di tapak sawah, sambil menanam benih padi. Sambil meluncur dengan tayar terpakai dan pelantar bergerak itu, Li Jiewen dapat menyelesaikan kerjanya tanpa bantuan sesiapa.

Li Jiewen berkata, ” Walaupun saya telah banyak menderita kerana tidak dapat hidup seperti orang normal yang lain, saya juga dapat melakukan banyak perkara yang orang normal tidak boleh buat pada umumnya. Contohnya saya boleh membuat kerja kimpalan dan membaiki barang-barang elektronik yang rosak.”

Untuk menambah pendapatan keluarganya, Li Jiewen juga menternak ayam dan itik, menyewa kolam ikan dan melakukan apa sahaja kerja untuk mengubah nasib keluarganya.

Dengan bantuan Pertubuhan Orang Kelainan Upaya wilayah dan jawatankuasa penduduk kampung, Li Jiewen telah dapat membina rumah baru dan membuka sebuah kedai. Kini kehidupan Li Jiewen dan keluarganya berasa lebih selesa dan bahagia.

Hasil usaha gigih Li Jiewen yang kelainan upaya tetapi dapat menunjukkan dirinya yang lebih hebat dari orang lain yang normal, wajar dijadikan inspirasi oleh semua.

Kebahagiaan itu seperti minum segelas air kosong. Tidak perlu bagi kita untuk mencemburui air berwarna orang lain, kerana kadangkala air berwarna itu tidak dapat menghilangkan dahaga seperti mana minum air kosong.

Kredit foto: ptt01.cc

Sumber : EraBaru via KakiTular

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*