CERITA MALAM DI HOSPITAL YANG RAMAI TAKTAHU…KISAH “ONCALL”: MISTERI DUA PESAKIT

 

Nama pena aku SenyumanPerantau. Episod kali ni aku akan membawa kepada beberapa siri berkaitan dengan hospital yang pernah aku dan rakan-rakan tempuhi sepanjang bertugas di hospital.Oleh kerana pengalaman kami agak sukar diceritakan dalam satu episod sahaja,aku akan tulis pengalaman-pengalaman ini beberapa siri sehingga semuanya selesai. Dan kepada semua pembaca,terutama yang bekerja di hospital,anda juga boleh lah berkongsi cerita di bahagian komen,boleh berkongsi pengalaman sesama kita.Dan aku tegaskan di sini,untuk siri “Seram Hospital”,ianya berlaku di beberapa hospital,dan aku tak akan beritahu nama hospital tersebut,setiap episod aku hanya guna ganti nama sebagai hospital sahaja.
Ok.Siri pertama untuk seram hospital,bertajuk Misteri Dua Pesakit.Kisah kali ni telah dialami sendiri oleh sorang kawan aku,Mahadi pada bulan 12,tahun 2013.Korang mesti ingat lagi Mahadi ni kan,yang rambut macam bergulong macam berus basuh pinggan tu.Dia ni jugak ada perangai pelik dia, macam jenis tak ada perasaan,selalu muka toya je,time kena marah ke,sedih ke.Mahadi ni juga suka kumpul semut dalam botol kosong,buat macam haiwan peliharaan.Pelik memang pelik,tapi tak la sepelik Mike tu.

Sebelum aku bergerak lebih jauh,izinkan aku menerangkan serba sedikit prosedur “oncall” dalam bidang kami,mungkin ramai yang dah tahu,tetapi mungkin ramai juga yang masih belum tahu atau jelas.Walaupun bidang aku dan kawan-kawan hanyalah bidang dental,tetapi kami juga mempunyai “oncall” seperti bahagian lain seperti medical,farmasi dan makmal.Kes-kes yang dirujuk kepada dental selalunya kes kecemasan seperti kecederaan pada tisu keras seperti patah di bahagian gigi atau tulang rahang,tisu lembut seperti gusi,bibir atau kulit luar sekitar mulut,atau pendarahan daripada kemalangan atau cabutan gigi,dan lain-lain.
Malam kejadian,Mahadi ditugaskan untuk oncall bagi minggu tersebut,dan kami yang lain tagging tak rasmi selalunya.Disebabkan kami berlima memang menyewa satu rumah,setiap kali salah sorang oncall,yang  lain tu mesti jadi pegawai pengiring tak rasmi.Kata “Brotherhood” macam tu la. Buat pengetahuan semua,hospital tempat kami bertugas ni memang mempunyai beberapa kisah seram terkenal seperti dalam bilik OT,depan makmal darah,bilik mayat.Tapi yang tu semua,aku,Amran,Mahadi dan Mads tak ambil pusing sangat sebab bukan sendiri yang kena kata kami.
Malam tu lepas pekena nasi ayam penyet special,sup tulang,teh C peng special di medan selera belakang Giant,kami pun bergerak pulang ke rumah awal disebabkan Mahadi ni oncall.Sampai rumah semua terlelap dan tidur lena dek kekenyangan. Pukul 1.30 pagi,telefon Mahadi berbunyi,bergetar,nada bunyi telefon bimbit memang tahap tertinggi time oncall.

“Momma, we gonna dieee!”nada bunyi fon Mahadi berdering.
Lagu apa band apa nada dering Mahadi ni pun aku tak pasti,tapi yang pasti mamat ni memang layan lagu pelik-pelik.
Sayup-sayup aku dengar suara Mahadi menjawab panggilan tersebut,
“Morning,yes,Dr Mahadi speaking,” seketika pula dia membalas,
“I’m coming.”Mahadi membalas sebelum meletakkan paggilan tersebut.
“Jie,bangun weh,ado kes RTA(road traffic accident),bangun la,oyak(cakap) nok blaja kes,”Mahadi menggerakkan aku.

Aku pun bingkas bangun basuh muka dan cuba mengejutkan yang lain.
Hampa dan hampeh.
Hanya aku,Mahadi dan Amran je yang bangun.Mads macam biasa,kalau langit runtuh pun belum tentu bangun.
Setibanya di hospital,kami pun bergegas menuju ke bilik kecemasan (emergency department) dimana semua kes-kes kecemasan berada di sini.Kami terus disapa oleh Dr. Alex,pegawai perubatan UD44 yang bertugas,dan terus menunjukkan kes pergigian di sebuah bilik rawatan. Seusai masuk ke bilik rawatan,kami melihat keadaan pesakit,berumur 28 tahun,lelaki terbaring di atas katil,mukanya berdarah,bergerigi akibat terseret di atas jalan,bibirnya koyak,tembus,luar dan dalam jelas kelihatan.Bau hanyir darah bercampur dengan bau alkhohol bergabung.Berdasarkan sejarah pesakit yang diberikan saksi di tempat kejadian,lelaki tersebut menunggang motorsikal sebelum terbabas dan terseret di atas jalan tar.Mujur tiada kenderaan belakang yang memandu rapat atau laju dibelakangnya.Ini merupakan pesakit oncall pertama kami lihat.Perasaan agak bercampur baur,tergamam,risau,geram dan “blur”.Benar kata orang,ilmu tanpa pengalaman ibarat kereta mewah tanpa enjin.
Mahadi memeriksa pesakit bermula dari luar mulut menuju ke dalam mulut. Jelas pesakit ini memerlukan jahitan akibat luka-luka di sekitar mulut.Tulang alveolar juga patah disekitar gigi atas yang memerlukan ia diikat menggunakan dawai bagi mengelakkan ia bergerak sebelum rawatan definitif diberikan keesokkan  harinya.

“Jie,aku turun nok ambik baghe ni,mu ngey Amran nok ikut sekali kow?”tanya Mahadi.
“Mu nok aku temey(teman) kow,kalu takut oyak,aku bleh ikut,”balas aku dengan niat menguji.
“Toksoh la,aku ok jah,oghe berani key,warriorrr”jelas hadi sambil tersengih sambil mengepalkan penumbuk di dada.Mahadi berlalu meninggalkan kami untuk mengambil alatan pergigian yang tidak ada di dalam bilik rawatan kecemasan seperti dawai dan alatan menjahit khas untuk pergigian.

Klinik pergigian berada di tingkat bawah di dalam hospital ini.Lokasi klinik pergigian ini sebenarnya agak seram,kerana ia terletak seperti berada di ruang ‘basement’ walaupun hakikatnya ia berada di bawah bukit. Ketika waktu bekerja am(office hour), ianya mudah diakses menggunakan satu pintu bahagian lain,tetapi ketika oncall,untuk pergi ke bahagian pergigian,kami terpaksa membuka dua pintu grill besi besar dan melintasi makmal darah,klinik ibu mengandung dan klinik ENT sebelum tiba di kawasan pergigian.
Mahadi pun turun mengambil semua kelengkapan untuk menjahit dan mengambil dawai yang diperlukan.Setelah tiba kembali di tempat kecemasan,wajah Mahadi pucat,berpeluh-peluh.Kami mula mengesyaki sesuatu tetapi kerana dek tugasan yang perlu diselesaikan,kami pun memberikan rawatan kepada pesakit dahulu.Setelah semuanya selesai,kami pun bergerak naik menuju ke kereta Mahadi.

 

Di atas kereta,
“Aku takut gila Am,Jie,kena kosek(ganggu) hantu tadi” jarang Mahadi seserius malam tu,sebab Mahadi memang terkenal dengan jiwa kental kononnya.
“Haha.padey(padan) muko..tu la kecek tak beragok (tak agak-agak)” kata aku diikuti hilaian ketawa aku dan Amran.

Mahadi pun menyambung,ketika dia turun untuk mengambil barang di dalam klinik gigi,dia perlu membuka dua pintu grill besi besar sebelum sampai ke pintu utama klinik gigi.Sebelum dia tiba di pintu grill besi yang pertama,dia terdengar bunyi “langkahan kaki” seseorang. Dia pun menoleh.Jelas tiada kelihatan seorang pun.Kaget dan senyap.Tanpa melengahkan masa,dia terus membuka kunci grill pertama dan mengangkat ke atas.Seusai tiba di pintu grill kedua,dia terhidu sejenis bauan yang sangat harum dan wangi sehingga menusuk kalbu.Mahadi yang memang jenis tiada perasaan terus menegur di dalam hati, “wanginyo,bau gapo ni..”.Dan..dia terus membuka kunci pintu grill besi kedua dan turun ke tangga bawah menuju ke klinik gigi yang berada di tingkat bawah..Hujung sekali…

Langkahan terakhir Mahadi di anak tangga terakhir,dia pun memusingkan badan ke arah kanan menghadap ke klinik gigi.Kelihatan “dua orang pesakit” sedang duduk di kerusi hadapan menghadap pintu hadapan klinik gigi.Mustahil ada manusia yang dapat masuk ke ruangan ini pukul 3 pagi kerana laluan menuju ke sini memang terkunci rapat yang mana kunci hanya dimiliki oleh pegawai yang “oncall” dan pak guard sahaja.Yang seorang perempuan,berambut panjang,mengenakan baju putih, daripada baju hingga ke kain.Manakala rakannya di sebelah,seorang “pakcik” mungkin,berambut jarang,bajunya kuning kusam bersama seluar hitam berlubang-lubang.Yang sama,keduanya menundukkan pandangan.Maka Mahadi,tidak dapat melihat dengan jelas wajah mereka.

Masa ni ego dan sifat macho Mahadi hilang.Lenyap.Lututnya bergetar semahunya.Mahu terhenti saja degupan jantungnya kali ini.Tapi yang paling aku “respect”,walaupun dalam ketakutan,Mahadi terus membuka pintu hadapan klinik gigi dan mengambil alatan yang diperlukan tanpa berpatah balik mendapatkan kami.Sedang Mahadi,mencari alatan yang diperlukan,hidungnya ditusuk sejenis bau yang amat busuk,meloyakan,lebih hanyir daripada bau darah dan nanah,lebih busuk daripada bangkai cicak.Mahadi menekup hidung.Kali ni…Hatinya tidak dapat membisikkan apa-apa perkataan lagi.Buntu.Bisu.

Dia terus mengambil barang-barang tadi dan mahu beredar menuju kembali ke bilik rawatan kecemasan. Sedang dia ingin mengunci kembali pintu utama bilik rawatan pergigian,dia terlihat dengan ekor matanya,masih kelihatan “dua pesakit” tadi di atas kerusi luar.Betul-betul menghadap pintu utama klinik pergigian,yang jaraknya hanya 3 langkah saja dengan pintu utama klinik pergigian. Menurut Mahadi,masa ni,hanya Tuhan yang tahu betapa berdebarnya perasaan dia.Peluh dingin ditambah dengan suasana sejuk 3 pagi, membasahi dahi dan belakang tengkuknya.Tengah ingin mengunci kembali mangga tersebut.Kunci pula terlepas daripada tangan Mahadi.

“Klinggg,kecingg.”bunyi kunci jatuh ke lantai.Sedang ditunduk ingin mencapai ke lantai.Fikirannya mula menerawang jauh seperti dalam filem-filem seram Thailand yang pernah ditontonnya,buatnya tangan “pesakit” itu memanjang dan menolong dia mengutip dan menyerahkan kembali kunci itu.Ataupun “kedua pesakit” itu mengangkat muka dek terkejut dengan bunyi kunci terjatuh tadi.Tetapi dengan keizinan Tuhan,Alhamdulillah tiada apa-apa kejadian seperi dalam filem ketika Mahadi mengutip kunci yang terjatuh tadi,cuma,Mahadi sempat mengerling kebelakang,jelas kaki “kedua pesakit” ini “terapung dan pucat”.Malas melayan perasaan takutnya,dia terus mengunci mangga tersebut dan beredar.Sedang dia beredar,”kedua pesakit” itu mengeluarkan bunyi seperti “Hurmmm…Hurmmm”.

Mahadi masa ni dah berlari-lari anak menuju tangga untuk ke tingkat atas.Ketika mahu menaiki tangga pertama,dia acuh tak acuh menoleh kembali ke arah tempat duduk “dua pesakit” tadi.Kosong.Tidak berpenghuni.Darah di muka Mahadi seakan-akan mengalir turun ke bawah.Pucat lesi.Pudar tanpa arah.
Terus Mahadi berlari ke arah kami.
Begitulah pengalaman Mahadi yang nampak “simple” tapi menyeramkan.

“Gitu la cerito dio,harap-harap takdok doh la kes maley ni,kalu ado sek mu temey aku deh,”Mahadi mengakhiri sesi penceritaan kisah seram ni.

“Haha..padey muko,hiley(hilang) gedebey mu maley ni,”berdekah aku ketawa sambil aku mencuit bahu Amran yang sedang memandu.Amran pun menyambung sesi gelak tawa kami di pagi yang hening tersebut.Habis selesai oncall semua,jam menunjukkan pukul 4 pagi.Kami bertuah hari tu,tiada lagi kes selepas kes tersebut.

Akhir kata,begitulah rencah dan ujian kami ketika melakukan tugasan seharian terutama sekali ketika “oncall”.Kami menyambut baik kedatangan anda ketika luar waktu pejabat atau oncall tetapi berpadalah terhad kepada kes-kes yang betul-betul kecemasan sahaja.Oleh kerana,aku ni merupakan pegawai pergigian,aku bagi contoh berdasarkan skop kerja aku sahaja, seorang pesakit datang mengadu sakit gigi,tiada bengkak mahupun gangguan sehingga sukar bernafas atau sukar menelan makanan.

Aku nasihatkan datang lah untuk mendapatkan rawatan selanjutnya keesokkan harinya di klinik pergigian biasa.Senang bagi pihak pesakit kerana rawatan terhadap pesakit kecemasan tersangatlah lama,kerana kami mendahulukan pesakit yang lebih memerlukan rawatan seperti kes kemalangan di atas.Tambahan pula,tiada lagi kes kami jumpa hantu macam Mahadi tersebut.
Sejak dari kejadian tersebut,ujian yang paling getir sekali ketika “oncall” adalah turun ke bawah untuk mengambil alatan pergigian.Manalah tahu terserempak lagi dengan “pesakit” tersebut..

Ehemm..ehemm..
Abang akak Doktor dan akak-akak nurse tu,tengah oncall ke,cuba jeling belakang ada sapa-sapa ikut ke???hehe.Renung-renungkan

sumber : FiksyenShasha

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*